Ahli Dewan Negara, Dr. Hatta Mohd Ramli mahu kerajaan melihat semula keupayaan tanah-tanah wakaf yang ada di Malaysia untuk distrukturkan dengan lebih baik agar ia mampu mendatangkan kesan ekonomi yang baik kepada masyarakat. Tambah beliau, mengikut laporan yang diperoleh, tanah wakaf yang masih belum dibangunkan adalah sebanyak 16%. Jika ia tidak diuruskan dengan sebaik mungkin, akan menyebabkan manfaat tanah wakaf ini tidak sampai kepada masyarakat khususnya kepada perkembangan ekonomi negara. Mengambil contoh negara jiran seperti Singapura, tanah wakaf akan diusahakan dengan pulangan ekonomi yang sesuai, dengan cara hasilnya dapat membangunkan umat Islam dari segi kesihatan dan kesihatan.
Beliau yang menyertai sesi perbahasan usul Kajisan Separuh Penggal RMK12 di Dewan Negara menganggap jika tiadanya anjakan yang diambil khususnya pihak majlis agama dalam menguruskan tanah wakaf yang ada, tanah wakaf ini hanya dalam keadaan sedia ada dan tidak mendatangkan pulangan kepada umat Islam. Memasuki bab Malaysia menuju negara menua, tumpuan seharusnya mengambil pendekatan yang lebih baik dalam mendepani fasa tersebut. Perihal orang tua perlu diberikan fokus utama oleh kerajaan dengan persiapan yang tinggi. Jika kerajaan gagal melihat perkara ini lebih awal, kos yang bakal diambil untuk merawat perihal orang tua akan menjadi lebih tinggi berbanding kita mencegah dari awal.
Dr. Hatta yang juga Setiausaha Agung AMANAH juga berpandangan, sistem pendidikan negara mesti memberikan ruang kepada golongan ‘good brain’ atau pelajar genius untuk menyertai bidang yang mereka minati meskipun kecenderungan mereka tidak sesuai dengan minat mereka. Hal ini demikian kerana, Dr.Hatta berpendapatan, pelajar genius ini mampu mengadaptasi apa juga jenis bidang untuk mereka. Oleh itu pelajar ini perlulah diberikan peluang utama memilih pilihan yang mereka minati sebelum diisi oleh pelajar biasa. – SelangorToday