SelangorToday

KSP RMK12: DR. MUJAHID CADANG KERAJAAN GUBAL AKTA KEBENCIAN KAUM DAN AGAMA

Ahli Dewan Negara, Dr. Mujahid Yusof Rawa mencadangkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menggubal akta kebencian kaum bagi mengawal kegiatan yang boleh mewujudkan perpecahan antara kaum di Malaysia. Beliau turut mencadang supaya akta anti diskriminasi juga digubal untuk mengelakkan sebarang diskriminasi kepada sesiapa sahaja di negara ini. Dua akta tersebut dicadang selaras dengan tekad Kerajaan Perpaduan dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 yang mahu melahirkan masyarakat yang aman, inklusif dan saksama. Kegagalan mengubal akta ini akan mendorong negara mengalami kecelaruan kerana membiarkan pihak pelampau kaum dan agama mencetuskan provokasi.

Naib Presiden AMANAH itu meminta kerajaan jelaskan komitmen dalam membantu golongan anak tempatan dalam mengembangkan idea-idea baru khususnya dalam bidang pertanian agar ia dapat membantu meningkatkan produktiviti negara dan menambahkan pendapatan. Dr. Mujahid yang menyertai sesi perbahasan di Dewan Negara dalam usul Kajian Separuh Penggal RMK12 menyentuh soal tekad kerajaan dalam menstrukturkan sektor pertanian selaras dengan tumpuan Kerajaan Perpaduan dalam membentuk ekonomi yang mampan. Beliau berkata, di negara luar, terdapatnya sebilangan anak muda tempatan yang mewujudkan kegiatan ‘vertical farming’ di tengah-tengah bandar. Kegiatan itu tidak menggunakan air yang tinggi, keluasan tanah yang besar serta tidak dipengaruhi oleh keadaan cuaca. Oleh itu, Dr. Mujahid meminta penjelasan daripada kerajaan sejauh mana komitmen kerajaan dalam mempermudahkan urusan golongan anak muda tempatan dalam menceburi bidang pertanian dengan kaedah baru.

Beliau juga menyatakan bahawa semangat dalam KSP RMK 12 ini seiring dengan pesanan Allah SWT dalam Surah Al-Balat ayat ke 11. Keyakinan kerajaan dalam membasmi kemiskinan merupakan satu semangat dalam surah tersebut. Usaha ini katanya yang juga Pengerusi HARAPAN Perak merupakan satu tuntutan dalam agama Islam yang wajar disokong oleh semua pihak. – SelangorToday

Exit mobile version