ULASAN | Setiap kali Ramadan, satu isu yang lazim berlaku, sejak puluhan tahun, adalah pembaziran makanan. Baik dari lebihan pengguna, atau lebih besar lagi, lebihan dari penjual. Makanan yang sifatnya tidak bertahan lama, akhirnya dibuang.
Situasi pembaziran ini amat mencemar bulan ramadan yang mulia.
Melihat pada masalah ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2021 telah mengasaskan satu program yang dinamakan Program MySave Food. Ia bukan sekadar satu inisiatif biasa, tapi satu langkah pro-aktif dalam mengurangkan pembaziran makanan dan membantu mereka yang memerlukan.

Program ini berjalan dengan makanan yang tidak terjual di bazar dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan. Bayangkan, makanan yang mungkin dibuang begitu saja sebenarnya boleh mengisi perut mereka yang lapar.
Saya masih ingat ketika program ini mula diperkenalkan sekitar tahun 2021. Pada waktu itu, mungkin tak ramai yang sedar betapa besar impaknya. Tapi lihatlah sekarang, setiap tahun jumlah makanan yang berjaya dikumpulkan semakin meningkat.
Dari hanya 859 kilogram pada 2021, jumlahnya melonjak ke 2.2 tan metrik pada 2022, 2.9 tan metrik pada 2023, dan pada 2024, sudah ada 7.17 tan metrik makanan yang berjaya dikumpul. Ini bukan angka kecil. Ini bukti bahawa kesedaran masyarakat semakin tinggi dan program ini benar-benar berkesan.
Apa yang saya paling kagum adalah bagaimana MBSA melaksanakan program ini dengan teratur. Makanan yang dikumpulkan tidak dibiarkan begitu saja, sebaliknya terus diagihkan ke masjid, surau, pangsapuri kos rendah, asrama pelajar, dan kepada mereka yang memerlukan selepas solat tarawih. Bukan saja mengelakkan pembaziran, tetapi juga menyebarkan keberkatan Ramadan kepada lebih ramai orang.
Lebih menarik, kejayaannya telah membuka mata pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor. Menteri Besar Selangor sendiri menggalakkan semua PBT di negeri ini untuk melaksanakan inisiatif yang sama. Bukan itu saja, banyak pihak mula menyedari bahawa pembaziran makanan bukan isu kecil dan perlukan penyelesaian yang lebih sistematik.
Dalam Islam sendiri, pembaziran adalah sesuatu yang dilarang. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 31:
“……Makan dan minumlah, tetapi jangan membazir. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang membazir.”
Jelas di sini bahawa Islam menekankan keseimbangan dalam hidup, termasuk dalam hal makanan. Kita sering mendengar kisah Rasulullah SAW yang tidak pernah membazir makanan, malah sentiasa berkongsi dengan mereka yang kurang mampu.
Jadi, program MySave Food ini sebenarnya sangat selari dengan ajaran Islam—mengelakkan pembaziran dan dalam masa yang sama, membantu mereka yang memerlukan.
Bagi saya, program seperti ini bukan sahaja perlu diteruskan tetapi juga diperluaskan lagi. Mungkin di masa akan datang, bukan hanya ketika Ramadan tetapi sepanjang tahun. Kalau Shah Alam boleh jadi perintis dan contoh kepada PBT lain, siapa tahu, satu hari nanti program sebegini boleh dijalankan di seluruh Malaysia.
Apa pun, saya harap lebih ramai yang akan menyokong inisiatif ini. Sebab dalam dunia yang penuh dengan pembaziran ini, alangkah indahnya jika kita memilih untuk berkongsi.
Aishah Zain(Ahli Majlis,Majlis Bandaraya Shah Alam)