Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, yang didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri.
Saman itu difailkan oleh Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.
Awang dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar berkata, defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka dan pada realitinya tidak mencampuri tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara.
Oleh itu, katanya, dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.
Anwar berkata, defendan menyedari sepenuhnya komitmen plaintif yang dibuat kepada masyarakat umum beberapa kali mengenai hasrat dalam membasmi rasuah dan sokongan penuh terhadap kebebasan institusi penyiasatan, pendakwaan serta badan kehakiman.