
Temerloh, 21 Mei – Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, YB Tuan Haji Mohd Sany bin Hamzan hari ini telah merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional yang berlangsung meriah di Dewan Grand Astana, Temerloh, Pahang.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Sany menekankan bahawa kejayaan dalam bidang keusahawanan bukan sahaja bergantung kepada modal semata-mata, tetapi juga memerlukan panduan, sokongan serta bimbingan yang berterusan. Beliau menyeru para peserta agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang disampaikan melalui seminar ini sebagai batu loncatan untuk melakar kejayaan dalam dunia perniagaan.

“Keusahawanan menuntut lebih daripada sekadar idea — ia memerlukan daya tahan, sikap positif dan semangat untuk memberi kembali kepada masyarakat. TEKUN bukan sekadar pemberi pinjaman, tetapi rakan strategik yang komited membimbing dan membangunkan usahawan dari pelbagai peringkat,” ujar beliau.
Seminar ini menjadi platform penting dalam memupuk semangat dan membentuk pemikiran usahawan yang berintegriti serta inovatif, bersesuaian dengan cabaran dunia ekonomi masa kini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs Tuan Haji Aishamuddin bin Zulkefli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan & Pembangunan); YBrs Md. Zaid bin Md. Ismail, Ketua Jabatan Latihan Keusahawanan; serta YBrs Encik Hassan Anuar, Pengurus TEKUN Negeri Pahang.
TEKUN Nasional akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin pertumbuhan usahawan dengan menyediakan sokongan menyeluruh, seiring aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi rakyat melalui keusahawanan.