SelangorToday

LANTIK EWON BENEDICK SEBAGAI PENGERUSI HARAPAN SABAH SEGERA

Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap yang baru selesai 6 julai lalu menunjukkan kecenderungan rakyat yang masih samar-samar le[ada lerajaan namun meredakan keghairahannya terhadap pembangkang. Kesan dari itu, pengundi memprotes PRK tersebut dengan tidak keluar mengundi. Hasilnya, PN menang dengan jumlah undi lebih rendah berbanding mereka yang tidak hadir mengundi.

Dari segi teknikal, PN tetap diisytiharkan menang di Sungai Bakap. Namun dari segi moralnya, PN menang dengan mandat yang bukan keseluruhan pengundi Sungai Bakap. Pengundi Sungai Bakap mungkin letih dengan Pilihan Raya yang dibuat kurang tempoh setahun, manakala ada juga yang mungkin sedang memberi isyarat kepada kerajaan MADANI, ada hal yang tidak kena pada perjalanan kerajaan.

Dijangka selepas ini beberapa siri Pilihan Raya Kecil bakal diadakan jika Speaker Dewan Negeri Selangor dan Dewan Rakyat mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi-kerusi yang penyandangnya menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor dan Perdana Menteri. Permulaannya adalah DUN Nenggiri di Kelantan pada 3 Ogos nanti. Apa pun sama ada berlaku kekosongan atau tidak bagi 7 lagi kerusi lain iaitu DUN Selat Klang, Parlimen Kuala Kangsar, Parlimen Bukit Gantang, Parlimen Tanjung Karang, Parlimen Gua Musang, Parlimen Jeli dan Parlimen Labuan belum dapat dipastikan.

Namun yang pasti dan bakal berlaku adalah Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka tahun hadapan. Signal yang rakyat berikan di Sungai Bakap atau siri-siri PRK sebelum ini yang memperlihatkan sokongan pengundi melayu kepada kerajaan wajar diberi perhatian. Ia juga mampu menjadi petunjuk kepada sokongan kaum bumiputeri yang pelbagai kepada kerajaan MADANI di Sabah.

Sebelum ini penulis pernah membangkitkan soal, arah tuju HARAPAN Sabah termasuk gerak kerja kempen memperkenalkan logo HARAPAN di Sabah wajar dimulakan segera. Tidak dapat dipastikan sama ada pimpinan Sabah memberikan perhatian dan memberi maklum balas kepada cadangan tersebut. Sebaliknya HARAPAN Sabah harus memulakan langkah secepat mungkin bagi memastikan misi HARAPAN untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan Negeri Sabah berjaya kelak.

Bagi memulakan langkah dan sesi mula kerja, HARAPAN di peringkat nasional wajar melantik Ewon Benedick yang merupakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO – salah satu parti komponen HARAPAN) sebagai Pengerusi HARAPAN Sabah. Atas faktor beliau satu-satunya menteri daripada HARAPAN Sabah serta beliau merupakan pemimpin parti politik tempatan Sabah iaitu UPKO, layak jika diberikan ruang kepada beliau. Tambahan pula, beliau yang berketurunan Kadazandusun merupakan salah seorang ADUN Sabah di kerusi Kadamaian yang bakal mempertahankan kerusinya dalam PRN akan datang, sudah semestinya itu lebih baik dan berkesan apabila seorang general perang turut sama ada dilapangan perang.

Selama beberapa penggal Pengerusi HARAPAN Sabah sekarang, Christina Liew mengemudi HARAPAN Negeri. Banyak ruang dan usaha yang telah beliau jayakan demi meletakkan HARAPAN setanding BN, WARISAN dan GRS. Namun tuntutan masa hari ini memerlukan pimpinan yang mampu memecahkan ketepuan yang berlaku dalam politik Sabah serta mendambakan seorang pimpinan baru yang lebih muda dan bertenaga sama ada untuk mengurus karenah dalam antara KEADILAN, DAP, AMANAH dan UPKO mahupun membuat perundingan dengan rakan sekutu lain sama ada WARISAN, BN mahupun GRS memasuki gelanggang PRN kelak.

Ini masa yang sesuai untuk kita memberikan peluang kepada UPKO selaku komponen HARAPAN untuk berperanan memperkasakan HARAPAN. Sebelum ini HARAPAN dilihat sebagai pakatan semenanjung akibat situasi politik yang lebih tertumpu di Putrajaya dan semenanjung. Tetapi gendang PRN yang bakal diadakan boleh menjadi plaform HARAPAN mengangkat parti politik tempatan Sabah sebagai peneraju sedang arus permainan politik MA63 akan berkumandang demi mendapatkan sokongan yang maksimam pengundi Sabah.

Berbeza daripada Christina dari kaum cina, beri peluang kepada anak tempatan yang lahir selepas merdeka memimpin HARAPAN Sabah. Jika Ewon diberikan peluang, HARAPAN akan dilihat lebih segar dan berupaya mempengaruhi generasi baru memandangkan Ewon baru berumur 40 tahun.

Pimpinan di peringkat negeri jangan risau peluang anda tertutup sebagai Menteri mahupun Menteri Muda dalam Kerajaan Sabah apabila Ewon mengemudi HARAPAN Sabah, kerana kedudukan beliau di Persekutuan cukup selesa dan tidak ada sebabnya beliau turun sebagai Menteri Kerajaan Negeri pula. Melainkan ditawar sebagai Ketua Menteri, Ewon boleh berfikir semula. Berilah ruang kepadanya. Keputusan di Sungai Bakap adalah isyarat untuk HARAPAN Sabah mula bergerak segera sebagai satu pasukan, bukan bergerak atas nama parti masing-masing.

Penulis mahu HARAPAN berada dalam keadaan bersiap sedia dengan strategi yang relevan dan berkesan untuk mencipta kemenangan seberapa banyak kerusi yang ditandingi. Isunya apakah sebab utama Christina tidak diberikan mandat mengetuai KEADILAN Sabah dan terpaksa melantik Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud sebagai penggantinya. Hal ini dipercayai akibat sokongan yang berbelah bagi dalam KEADILAN Sabah. Ini juga memberi kesan kepada kesatuan HARAPAN Sabah jika orang yang sama menerajuinya. Perdana Menteri perlu berbesar hati memberikan kerusi yang dimandatkan kepada KEADILAN itu kepada UPKO. Lonjakan baru diyakini boleh menjadi eksperimen HARAPAN untuk maju lagi.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version