SelangorToday

LAPORAN KHAS | ADLY SERU PEMUDA AMANAH SERTAI SUKARELAWAN PERTAHANAN NEGARA

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari menyeru Pemuda AMANAH untuk menyertai skuad sukarelawan pertahanan di bawah Kementerian Pertahanan. Kata Adly, antara tugas beliau selaku Timbalan Menteri adalah meningkatkan jumlah keanggotaan sukarelawan pertahanan negara. Oleh itu beliau mahu Pemuda AMANAH sama ada di peringkat nasional, negeri mahupun kawasan menyertai skuad Wataniah untuk sama-sama memperkukuhkan benteng pertahanan Malaysia. Tambah beliau lagi, kementerian mensasarkan anggota sukarelawan pertahanan mesti mencapai 300 ribu orang.

Berkaitan peranan beliau mengelola kebajikan Veteran ATM, Adly mahu ahli AMANAH mengenalpasti jika terdapat veteran ATM yang hidup susah, perlu dimaklumkan kepada beliau dan pasukan supaya Kementerian Pertahanan akan membantu sedaya mungkin. Contohnya Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menambah, jika terdapat veteran ATM yang mempunyai tanah, kementerian akan membantu membina rumah buat veteran tersebut. Jelas beliau lagi, masih ramai veteran ATM tidak berpencen yang perlu disantuni memandangkan dibawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, peruntukan untuk veteran ATM meningkat berkali ganda.

Beliau juga mengingatkan kepada ahli AMANAH supaya sentiasa menunjukkan prestasi yang baik dalam lantikan yang diberikan. Memandangkan semua lantikan tidak ada jaminan untuk kekal. Semua lantikan akan berubah kedudukan sama ada disebabkan oleh pertukaran kerajaan atau rombakan. Maka ahli AMANAH perlu sentiasa menjayakan setiap agenda yang dibawa oleh parti AMANAH. – SelangorToday

Exit mobile version