SelangorToday

LAPORAN KHAS: DELEGASI MALAYSIA PERKASA SEKTOR PERTANIAN DAN INDUSTRI HALAL DI RUSIA

[LAPORAN KHAS] Lawatan rasmi delegasi Kerajaan Malaysia ke Persekutuan Rusia yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turut menyaksikan penglibatan aktif Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam memperkukuh kerjasama dua hala khususnya dalam sektor pertanian, keselamatan makanan dan industri halal.

Kunjungan itu dimulakan dengan sesi meja bulat bersama pemain industri utama Rusia yang membuka lembaran baharu dalam perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara. Fokus utama perbincangan adalah potensi eksport daging dan ayam belanda dari Rusia ke Malaysia, yang dilihat mampu memperluas pilihan sumber protein serta menstabilkan bekalan makanan negara.

Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Rusia, YB Menteri telah menyerahkan surat setuju terima sebagai langkah mempercepatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU). Arahan juga dikeluarkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mempercepatkan proses pemeriksaan dan pengiktirafan pusat penyembelihan, selaras dengan piawaian halal dan keselamatan kesihatan awam.

Kerajaan MADANI menunjukkan komitmen jelas dalam memperkukuh daya tahan sistem makanan negara dengan menjalin kerjasama strategik bersama negara luar. Usaha ini bukan sahaja memperluas pasaran produk halal Malaysia, malah memperkukuh diplomasi agrikultur melalui pemindahan teknologi dan amalan terbaik.

Delegasi Malaysia turut mengadakan pertemuan bermakna dengan Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin, dalam usaha memperkasa institusi Islam dan membangunkan industri halal global. Malaysia menawarkan kepakaran pensijilan halal yang diiktiraf dunia, sebagai langkah menyokong pertumbuhan ekonomi halal di negara berpenduduk lebih 25 juta umat Islam itu.

Sebagai simbol persahabatan dan dakwah, senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Rusia dihadiahkan oleh YAB Perdana Menteri kepada Sheikh Ravil, yang dibalas dengan mushaf Uthmani dari Uzbekistan. Pertemuan ini mencerminkan nilai teras MADANI yang mengangkat dakwah, ilmu dan kemanusiaan sebagai asas hubungan antarabangsa.

Lawatan turut dimanfaatkan untuk menjalin hubungan akademik apabila pihak Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) menyatakan minat bekerjasama dengan Universiti Malaya dalam bidang ASEAN, pertanian dan pertukaran pelajar. Malaysia juga menyuarakan kesediaan menghantar diplomat muda ke MGIMO sebagai pelaburan jangka panjang dalam diplomasi dan kepimpinan global.

Syarahan umum YAB Perdana Menteri di MGIMO bertajuk “Bridging Worlds In A Fractured Age” mengangkat gagasan MADANI sebagai pendekatan yang menyeimbangkan pembangunan teknologi dengan kekuatan rohani dan nilai kemanusiaan. Malaysia menyeru dunia agar tidak kehilangan arah dalam mengejar kemajuan material semata-mata.

Lawatan diteruskan ke Kazan untuk menyertai Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia–Islamic World” dan KazanForum, yang membuka peluang kerjasama lebih luas dalam pembangunan ekonomi Islam, inovasi teknologi dan perdagangan makanan halal. Delegasi Malaysia dilihat konsisten membawa suara negara sebagai rakan strategik dunia Islam yang progresif dan berprinsip.

Secara keseluruhan, usaha Kerajaan Malaysia MADANI di Rusia menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat melalui pengukuhan jaminan makanan dan peningkatan daya saing industri halal. Pendekatan diplomatik yang inklusif dan bernuansa nilai memberi isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia menjadi peneraju serantau dalam bidang ini

Exit mobile version