 
                [LAPORAN KHAS] Semalam berlangsung sesi dialog antara Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Hasbie Muda dengan Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Hilman Idham anjuran Portal MalaysiaGazette. Sesi tersebut bertemakan Payung Melayu itu berjaya memperlihatkan keupayaan kedua-dua belah pihak dalam melihat isu Ketuanan dan masa depan orang melayu perspektif dan pendirian parti masing-masing.
Meskipun baru pusingan pertama, Hilman yang juga Ahli Dewan Negeri Gombak Setia itu menekankan soal penguasaan orang melayu yang semakin mengecil dasawarsa ini. Kedudukan melayu kini diancam menyebabkan Sekretariat Orang Melayu dibentuk dan digerakkan. Pun begitu, Hasbie selaku ahli politik muda yang berpengalaman sejak dalam PAS lagi serta mengukir nama sebagai penulis buku-buku kritikal tentang politik membidas keadaan yang digambarkan oleh Hilman.
Katanya, daripada 31 orang jemaah menteri kabinet, 21 orang daripada adalah dikalangan orang melayu. Belum dikira dari peneraju utama kementerian dari kalangan penjawat awam, hampir majoritinya adalah orang melayu. Badan-badan penguatkuasa khususnya Angkatan Tentera majoriti nya orang melayu, justeru justifikasi yang dikemukakan oleh Hilman untuk mewajarkan penubuhan Sekretariat itu mudah dipatahkan.

Menyentuh soal kek ekonomi orang melayu yang semakin mengecil seperti dakwaan Hilman, Hasbie menegaskan dalam keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad serta parti komponen Perikatan Nasional yang terdiri daripada PAS dan BERSATU sedang ingin menubuhkan Sekretariat Orang Melayu, Kerajaan MADANI pimpinan Anwar Ibrahim bersama Kementerian dibawah Dr Ahmad Zahid dan Rafizi Ramli telah memasuki tahun kedua pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Kerajaan MADANI telah menyedari awal akan perihal yang sedang berlaku dalam masyarakat orang melayu dan segera bertindak dengan 9 asas yang perlu dicapai menjelang tahun 2035. Jawapan Hasbie yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu jauh sekali berbentuk retorik, namun ia lebih mendasar dan bersifat praktikal dalam keadaan siapa yang sebenarnya betul-betul ingin membela melayu.
Sempat juga, Hasbie bertanyakan kepada Hilman, jika melayu harus bersatu dibawah Sekretariat tersebut, mengapa AMANAH sebagai parti melayu Islam, KEADILAN yang berketuakan seorang melayu, DAP yang mempunyai ramai ahli melayu tidak dijemput sama menyertai Sekretariat ini? Jawapan Hilman sedikit melondehkan pendirian BERSATU apabila beliau sendiri mengakui beliau dan Presiden Parti itu juga bukanlah anggota dalam Sekretariat tersebut tetapi menyokong usaha kearah itu. Ini sekaligus menunjukkan BERSATU juga mengalami fraksi hanya disebabkan penubuhan Sekretariat ini.

Akhirnya, Hasbie sebagai wajah muda, segar dan matang mewakili kepimpinan AMANAH menegaskan melalui inisiatif RAHMAH yang digagaskan menjadi saluran paling tuntas dan jitu membantu golongan melayu yang terkesan akibat kenaikan kos global. Atas nilai kasih sayang itu, AMANAH mengembangkan sayap RAHMAHnya kepada semua bagi memastikan semua pihak dibela dan dijaga terutamanya orang-orang melayu.
Syabas dan tahniah buat kedua-dua tokoh politik muda yang percaya dan yakin akan pendirian masing-masing lantas sedia berdialog bagi mempertontonkan kepada masyarakat tentang idea dan gagasan yang mereka berdua pegang. Keberanian Hilman menerima pelawaan MalaysiaGazette disanjung tinggi berbanding Dewan Pemuda PAS yang tidak berani berhadapan secara bersemuka dalam berhujah dan hanya berani mengaum dijalanan tanpa solusi.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            