Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat Parti AMANAH Negara, Hj Azli Yusof melihat lawatan Delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia serta kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Malaysia baru-baru ini mampu membuka lembaran baharu terhadap pembangunan dan kemajuan Afghanistan khususnya bidang pendidikan.
Melalui satu kenyataan medianya semalam, Hj Azli berkata mewakili Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat(BPPM) lawatan yang dirintiskan oleh kerajaan Taliban Afghanistan itu dipandang positif oleh AMANAH. Demikian itu kerana sebelum ini Taliban sering dikaitkan dengan pendekatan dasar tertutup yang mengenakan pelbagai sekatan, khususnya terhadap penglibatan wanita dalam aspek sosio-ekonomi termasuk pendidikan.
Maka kunjungan delegasi ini menunjukkan tanda keterbukaan untuk mempelajari kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang melaksanakan dasar pendidikan bersifat inklusif dan progresif.
Justeru itu Ahli Parlimen Shah Alam itu yang mewakili BPPM menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha mereka meyakinkan delegasi Afghanistan untuk mencontohi model pendidikan Malaysia, khususnya dalam usaha mengangkat martabat wanita dan memberi hak pendidikan yang saksama kepada semua lapisan masyarakat.
BPPM turut menggesa semua pihak supaya tidak berprasangka buruk terhadap lawatan ini, sebaliknya memahami niat murni kerajaan dalam membimbing mana-mana negara dunia ketiga, termasuk Afghanistan, yang ingin meneladani kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia. – SelangorToday