Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Thailand baru-baru ini disifatkan berjaya membuka lembaran baharu dalam usaha kemanusiaan rantau ini, khususnya membabitkan krisis di Myanmar.
Antara pencapaian utama ialah pertemuan dengan Senior Jeneral Min Aung Hlaing yang membuka ruang kepada penyaluran bantuan kemanusiaan ASEAN kepada rakyat Myanmar. Langkah ini dilihat sebagai usaha konstruktif untuk meredakan penderitaan yang dialami penduduk negara itu.

Selain itu, satu mesyuarat maya bersama Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) turut diadakan, dengan fokus utama diberikan kepada keperluan rakyat dan jaminan bahawa bantuan yang disalurkan sampai kepada golongan paling memerlukan.
Malaysia menegaskan pendirian untuk terus berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar, demi menyokong proses keamanan, rekonsiliasi dan kebajikan rakyatnya.
Dalam pada itu, Malaysia bersama ASEAN turut menegaskan bahawa blok serantau itu tidak bersetuju dengan sebarang tindakan unilateral atau pengenaan tarif yang bercanggah dengan semangat multilateralisme yang menjadi teras kerjasama serantau dan antarabangsa.