SelangorToday

LCS MESTI DISIAPKAN MESKI ADA ISU, ADLY BERI JAMINAN

Kementerian Pertahanan komited untuk memastikan projek kapal tempur pesisir (LCS) disiapkan kerana ia terkait dengan pertahanan dan kedaulatan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, LCS adalah satu satu daripada kesediaan untuk memastikan kekuatan kelengkapan dan aset pertahanan negara dipertingkatkan.

“Walaupun ada isu, kita mahu LCS itu disiapkan…begitu juga dengan pembelian LMS siri kedua, yang kita akan tempatkan di Sarawak.

“Selain itu, pembinaan Markas Wilayah Laut Empat yang bakal kita wujudkan di Sarawak juga adalah salah satu daripada usaha penting untuk pastikan bukan saja maritim mempunyai persediaan aset tetapi kita turut mempunyai persediaan keanggotaan untuk pastikan kedaulatan negara” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Adly yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM276 juta bagi perbelanjaan hal ehwal veteran pada tahun ini.

Katanya, peruntukan itu meningkat daripada peruntukan sebanyak RM117 juta pada tahun lalu.

“Jadi bukan membawa maksud, kesemua daripada urusan veteran itu tidak kita berikan keutamaan.

“Haruslah lebih adil dalam mengutarakan pandangan yang terkait dengan peranan kerajaan untuk pastikan bahawa kebajikan veteran tetap diberikan keutamaan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga memperuntukkan hampir RM400 juta bagi penyelenggaraan rumah keluarga angkatan tentera, tahun ini.

“Peruntukan itu bagi memastikan penyelenggaraan rumah keluarga angkatan tentera diberikan keutamaan,” katanya. – Berita Harian

Exit mobile version