Kerajaan MADANI membaik pulih dan membina 34,470 unit rumah dalam tempoh dua tahun dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.02 bilion.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata inisiatif itu membabitkan usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“KPKT membaik pulih 4,814 unit rumah dan membina 245 unit rumah baru dengan peruntukan RM104.4 juta sepanjang 2023 hingga 2024.
“KKDW pula melaksanakan baik pulih 23,458 unit rumah dan bina baharu 5,953 unit rumah dengan peruntukan RM920.4 juta
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan MADANI dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya untuk golongan miskin dan miskin tegar,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Selain itu, KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) memperkenalkan Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) bagi memperkasakan komuniti desa.
Melalui sistem ini, sebanyak 19,474 maklumat sempadan dan profil kampung telah dicerap.
Kor Ming berkata, S-CHARMs telah diintegrasikan dengan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional di bawah KKDW untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kemudahan asas dan infrastruktur berdasarkan data sebenar serta meningkatkan aktiviti perancangan dan pembangunan kawasan desa.
“Inisiatif ini memastikan pembangunan desa lebih sistematik dan efisien, memberikan manfaat langsung kepada penduduk luar bandar,” katanya. -Berita Harian