Site icon SelangorToday

Lebih 123,000 Telah Daftar Khairat Darul Ehsan – Exco

3185393

[DN Selangor] — Program Khairat Darul Ehsan (KDE) terus menerima sambutan menggalakkan apabila sebanyak 123,343 pendaftaran direkodkan sehingga 30 Oktober 2025, demikian menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Pandamaran, Y.B. Leong Tuck Chee, pada sesi pertanyaan lisan Dewan Negeri Selangor.

Daripada jumlah keseluruhan pendaftaran itu, 99,621 permohonan telah diluluskan, manakala 17,845 masih dalam proses semakan, 5,259 tidak lengkap, dan 618 permohonan gagal.

Menjawab soalan berhubung status ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Anfaal memaklumkan bahawa seramai 385,903 ahli SMUE layak berdaftar di bawah KDE.

Namun setakat ini, 89,346 telah berjaya mendaftar, sementara 296,557 ahli masih belum mengemaskini maklumat dan membuat pendaftaran.

Mengulas pecahan umur, Anfaal menjelaskan bahawa kumpulan umur 50 hingga 60 tahun mencatat jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 75,935 orang. Sementara itu, 8,507 orang OKU di bawah umur 50 tahun serta 38,901 individu berumur lebih 60 tahun turut berdaftar.

Skim KDE merupakan inisiatif Kerajaan Selangor yang menawarkan pampasan kematian sebanyak RM1,000 kepada penduduk negeri ini khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Orang ramai disaran hadir mengikut lokasi yang terdekat untuk membuat pendaftaran atau mengemaskini maklumat. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang kde.yawas.com.my.

Exit mobile version