SelangorToday

LEBIH 65 PERATUS RAKYAT SELANGOR PUAS HATI PENTADBIRAN BAWAH HARAPAN

Lebih 65 peratus rakyat Selangor berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berucap ketika Majlis Makan Malam Amal biro Ekonomi Amanah Selangor

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu berdasarkan tinjauan yang dibuat negeri saban tahun berhubung pandangan rakyat terhadap kepimpinan Selangor.

“Berdasarkan maklumat saya perolehi lebih 65 peratus rakyat dilihat amat berpuas hati dengan cara pimpinan HARAPAN yang disifatkan lebih ke hadapan.

“Rakyat juga berpuas hati dengan program-program kebajikan yang kita laksanakan sejak dulu hingga sekarang…kita belajar berdikit-dikit cara untuk memenuhi permintaan mereka dan Alhamdulillah kita mendapat maklum balas positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal biro Ekonomi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor di Dewan Persatuan Bola Keranjang Kuala Langat di sini malam tadi.

Majlis dihadiri lebih 1,000 individu termasuk beberapa pimpinan parti HARAPAN antaranya Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim, EXCO Kerajaan Negeri Dato’ Teng Chang Khim dan Borhan Aman Shah.

Pada majlis sama, Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri tidak memberi ‘gula-gula politik’ sebaliknya berusaha menunaikan apa yang sudah dijanjikan demi kesejahteraan rakyat Selangor.

“Kita perkasakan peduli sihat, kita bina rumah mampu milik, apabila banjir kita bagi bantuan baik pulih rumah kemudian ketika pandemik kita berjaya beli vaksin sendiri yang tidak mampu ditandingi mana-mana negeri.

“Justeru, dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan, saya yakin kerajaan HARAPAN mampu mentadbir Selangor lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya.

Exit mobile version