 
                SHAH ALAM, 8 Julai – [DN Selangor] Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkasa peranan wanita dalam proses pembuatan keputusan dasar selaras dengan Dasar & Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026, demikian menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, YB Anfaal Saari dalam satu sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurut beliau, sejak tahun 2018 hingga Jun 2025, lebih 700 wanita muda telah menyertai pelbagai program kepimpinan anjuran kerajaan negeri seperti Akademi Kepimpinan Wanita (AKW), Women2Win, dan Sidang Wanita Negeri Selangor (SIWANIS). Program-program ini bertujuan melatih peserta dalam kemahiran kepimpinan, pengurusan, komunikasi serta pembangunan dasar dan polisi bagi melahirkan pemimpin wanita yang berkualiti dan berdaya saing.
“Penglibatan wanita dalam kehidupan awam dan politik adalah teras utama dalam Matlamat 4 Dasar Wanita Selangor. Kita bukan sahaja membuka ruang, tetapi melatih dan membimbing mereka agar bersedia menyumbang secara langsung dalam pembentukan dasar,” jelas Anfaal.

Antara inisiatif lain yang dilaksanakan termasuklah Projek Pengarusperdanaan Gender (GM), Belanjawan Responsif Gender (BRG), serta Konvensyen Kerjaya Wanita yang menyasarkan peningkatan penglibatan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan.
Kerajaan Negeri turut menjalin kerjasama antarabangsa dengan Westminster Foundation for Democracy dari United Kingdom menerusi Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada 21 Jun lalu. Kerjasama ini dilaksanakan di bawah program Women Political Leadership Programme (Fasa II) yang menekankan aspek pemantauan dasar, penyelidikan, pembentangan awam dan advokasi yang inklusif gender melalui inisiatif Gender Observatory.
YB Anfaal turut menegaskan bahawa pemilihan peserta bagi setiap program kepimpinan dibuat secara teliti dan telus. Antara kriteria utama yang diambil kira termasuk minat dan potensi kepimpinan, penglibatan dalam aktiviti komuniti, motivasi serta keseimbangan perwakilan dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi dan kaum.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah manifestasi tekad Kerajaan Negeri dalam memperkukuh wanita sebagai agen perubahan sosial dan pembangunan negeri, selaras dengan keutamaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” tambahnya.
Langkah berterusan ini dijangka mampu memperkukuh keupayaan wanita Selangor, khususnya golongan muda, untuk tampil ke hadapan sebagai pemimpin berwibawa yang memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negeri dan negara.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            