Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan lebih RM 1 Juta untuk membangun dan menjalankan Program Latihan Kemahiran Tahfiz Selangor dibawah STDC. Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika menjawab soalan di Dewan Negeri Selangor berkata, program yang dimulakan pada tahun 2021 itu ditetapkan untuk pelajar tahfiz yang berminat untuk menerima latihan kemahiran. Walau bagaimanpun program tersebut hanya menetapkan syarat minima seperti had umur 16 tahun, tidak memerlukan syarat kelayakan akademik peringkat sekolah menengah bagi memberikan peluang yang lebih besar kepada pelajar tahfiz untuk menyertainya.
Semenjak ditubuhkan sehingga 2023, seramai 103 anak-anak tahfiz telah terpilih untuk mengikuti program iktisas yang dijalankan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor bagi kursus sijil kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 4. Usaha ini bagi membolehkan anak-anak tahfiz mempunyai kelengkapan atau kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja kelak. Bagi menjawab soalan berkaitan kebolehgajian graduan STDC, beberapa inisiatif telah dilakukan Kerajaan Negeri antaranya, pemadanan kurikulum dengan industri, memastikan kurikulum yang dilaksanakan diperlukan dengan keperluan industri.
Selain itu, syarat wajib latihan industri kepada bakal graduan STDC dikuatkuasakan bagi meningkatkan kebolehgajian. Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri(ADN) Meru, yang diwakili oleh Danial Al-Rashid Harun, ADN Batu Tiga dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini. – SelangorToday