[DN Selangor] – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan dan pembangunan agro moden melalui pelbagai inisiatif berskala besar yang menekankan pertanian bernilai tinggi serta pembangunan usahawan tani. Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, YB Dato’ Ir. Izham Hashim, dalam sesi Dewan Negeri Selangor pagi ini menegaskan bahawa usaha menaik taraf sektor pertanian negeri dilaksanakan secara terancang dan disokong melalui peruntukan signifikan Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan.
Menurut Izham, Selangor menerima peruntukan RM30.46 juta tahun ini daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Dana ini disalurkan terus kepada usahawan tani bagi memacu projek pertanian bernilai tinggi seperti:
- Pembenihan kelapa matag
- Pembangunan benih nanas, betik dan melon premium (Melon Selangor)
- Pembenihan jagung bijian dan jagung manis
- Penetasan udang harimau & udang putih di Sungai Nipah
- Pemilihan baka ayam daging
- Pengembangan baka kambing Barbados Black Belly
Pengerusi AMANAH Selangor itu memaklumkan bahawa lebih 80% projek telah siap dilaksanakan, menunjukkan prestasi cemerlang Selangor dalam mengurus dana yang diperuntukkan. Kejayaan ini, katanya, membuka peluang besar untuk peruntukan tambahan pada tahun hadapan.
Kerajaan Negeri terus memperkukuh asas pertanian dengan menambah keluasan tanah pertanian:
- 2,000 hektar Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di 22 lokasi
- Pembangunan Smart Selangor Agro Park (SSAP) & Smart Selangor Agro Farm (SSAF) di Sungai Air Tawar, Cakap Menteri dan Jelutong Jati
- Kawasan baru di Olak Lempit dengan keluasan keseluruhan 500 hektar
Inisiatif ini akan memacu pertanian bernilai tinggi termasuk tanaman premium, penternakan moden dan rantaian agro yang lebih teratur.
Komponen pemodenan pertanian turut diberi tumpuan melalui:
- Penggunaan mesin transplanter dan combine harvester bagi meningkatkan hasil padi
- Bantuan pembelian mesin & peralatan asas tani setiap tahun kepada pesawah dan peladang
Sokongan teknologi moden:
- Dron
- Hidroponik, aquaponik & vertical farming
- Mini harvester dan mekanisasi moden lain
Langkah ini bertujuan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi, dan menarik lebih ramai agropreneur muda menyertai sektor pertanian.

Bagi memastikan rantaian nilai pertanian lengkap, kerajaan negeri turut menambah baik komponen pemasaran:
- Pengoperasian pusat pengumpulan hasil pertanian di Kuala Langat
- Peluasan Pasar Borong, Jualan Ehsan Rahmah dan platform pemasaran konvensional
- Pengoperasian Pusat Lelongan Agro Selangor Plus di Sejangkang yang kini telah beroperasi 8 bulan
- Perancangan beberapa pusat pengumpulan hasil pertanian baharu
Langkah ini memastikan pasaran lebih stabil, harga lebih kompetitif dan petani mendapat akses jualan yang lebih luas.
Di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA), lima fokus utama digerakkan:
- Pertanian bernilai tinggi
- Pemodenan pertanian
- Rantaian bekalan makanan lengkap
- Pembangunan agropreneur
- Kemajuan agro pelancongan
Dengan pelbagai projek berskala besar dan suntikan dana negeri serta persekutuan, Selangor berada di landasan kukuh untuk meningkatkan kadar sara diri (SSL) dan pendapatan warga tani.