Leftenan Muda Chan Ming Youn menjadi penuntut tunggal berbangsa Cina yang berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Komando, semalam.
Ming Youn ketika ditemui, berkata minatnya untuk menyertai latihan komando itu wujud selepas mengikuti program Askar Wataniah semasa menuntut di Universiti Tunku Abdul Rahman.
Graduan jurusan perakaunan itu berkata, sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang ketenteraan, namun segala-galanya berubah ketika menyertai Askar Wataniah.
“Saya menyertai Rejimen 515 Askar Wataniah dan sejak itu saya dapat segala ilmu, pengalaman dan pengetahuan mengenai bidang ini termasuk berkaitan komando.
“Disebabkan mahu mencabar diri, saya sertai latihan asas komando ini dan mahu tunjukkan walaupun saya hanyalah Askar Wataniah, tetapi saya juga mampu menjadi seorang komando,” katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka.
Pada majlis itu, seramai sembilan pegawai dengan 60 anggota Lain Lain Pangkat (LLP) menerima Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.
Semua mereka menerima penganugerahan itu selepas berjaya menamatkan pelbagai peringkat latihan selama 12 minggu.
Dalam pada itu, Ming Youn yang juga dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) berkata, beliau akan menambah lagi pengetahuan serta kepakaran sekali gus mampu menjadi pegawai yang berkualiti seterusnya membawa nama baik komando.
Sementara itu, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah dalam ucapannya mengingatkan pegawai dan anggota komando untuk sentiasa menjaga keagungan beret hijau sebagai sebuah imej pengendali pasukan khas yang profesional dan kompeten kerana ia adalah maruah dan kebanggaan Gerak Khas.
“Jagalah maruah Beret Hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara semua yang bertungkus-lumus untuk mendapatkannya.
“Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian