Sejumlah 81 pemilik rumah yang musnah akibat insiden letupan gas pada minggu lalu menerima sumbangan segera berjumlah RM10,000.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah berkenaan disalurkan kerajaan persekutuan sebanyak RM5,000 manakala separuh lagi sumbangan Petronas.
Beliau berkata 81 rumah yang dikenal pasti mengalami separa kerosakan serta 57 terjejas namun tidak terbakar turut menerima bantuan berjumlah RM5,000 selain penyewa juga diberi jumlah sama.

“Ini merupakan sumbangan segera dan bantuan kepada 219 mangsa ini akan diserahkan mulai hari ini. Kita anggarkan sehingga Jumaat, agihan bantuan ini akan selesai,” katanya pada sidang media di Dewan Annex hari ini.
Amirudin berkata hasil penilaian pasukan teknikal bomba, 437 rumah dikenal pasti terkesan akibat insiden berkenaan melibatkan kategori musnah sepenuhnya, separa musnah dan terkesan.
“Setakat hari ini 151 rumah disahkan selamat dan semua pemilik dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya. -SelangorKini