 
                SHAH ALAM, 8 Julai 2025 – Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Paip Gas yang akan dianggotai tujuh pakar, sebagai langkah susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
Dalam ucapan beliau di Dewan Negeri Selangor pagi tadi, Amirudin mempelawa pihak pembangkang untuk menamakan dua orang pakar bagi menyertai jawatankuasa tersebut agar siasatan dan penelitian yang dijalankan benar-benar telus dan menyeluruh.

“Saya akan minta pihak pembangkang untuk menamakan dua pakar dalam pasukan ini supaya menyemak semula laporan sedia ada, memastikan ketepatan maklumat, serta mengenal pasti sebarang kelemahan termasuk menentukan pihak yang bertanggungjawab terhadap tapak dan punca letupan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sedang dalam proses mengumpulkan semua laporan teknikal dan siasatan yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan, termasuk polis serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). Laporan penuh dijangka diterbitkan dalam tempoh dua minggu selepas tamat persidangan Dewan Negeri Selangor.
“Kita akan beri laporan tersebut terlebih dahulu kepada penduduk di kawasan terlibat serta kepada semua Ahli Dewan dan pihak yang berminat untuk meneliti secara mendalam,” jelas beliau.

–fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amirudin turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan inklusif dalam menyiasat kejadian ini, dengan memberi ruang kepada semua Ahli Dewan untuk mengemukakan soalan teknikal kepada pihak penyiasat dan agensi terbabit.
“Saya telah buka dua sesi dalam sidang ini termasuk semalam agar Ahli Dewan boleh bertanya terus kepada pasukan penyiasat. Kalau ada soalan kritikal berasaskan ilmu kejuruteraan atau teknikal, ia boleh disalurkan untuk siasatan lebih lanjut,” katanya.
Insiden letupan paip gas di Putra Heights telah menimbulkan kebimbangan awam berhubung keselamatan infrastruktur bawah tanah, dan pembentukan jawatankuasa khas ini dijangka menjadi langkah penting ke arah penambahbaikan sistem pengurusan risiko infrastruktur di Selangor.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            