
Memorandum Rang Undang-undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 dijadualkan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok sebagai satu langkah penting memperkukuh kerangka perundangan bagi melindungi sumber laut negara dan memastikan kebajikan nelayan terus terpelihara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata beliau telah menerima taklimat penuh berkaitan memorandum tersebut hari ini daripada pihak Jabatan Perikanan Malaysia, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Datuk Azahari Othman.

Menurut beliau, taklimat tersebut amat penting bagi memastikan kementerian memahami sepenuhnya setiap cadangan pindaan yang ingin dikemukakan.
“Kita mahu pastikan undang-undang yang digubal bukan sahaja melindungi sumber laut negara, malah menjaga kebajikan nelayan dan pihak berkepentingan dalam sektor ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perikanan atas komitmen mereka dalam menyediakan maklumat dan input teknikal yang jelas serta menyeluruh semasa sesi taklimat tersebut.
RUU Perikanan (Pindaan) 2025 dijangka merangkumi pelbagai penambahbaikan ke atas akta sedia ada, termasuk aspek penguatkuasaan terhadap aktiviti penangkapan ikan secara haram, pemantauan sumber marin, pengurusan kawasan perikanan, serta perlindungan terhadap komuniti nelayan tradisional.
“Insya-Allah, memorandum ini akan Bang Mat bentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mei nanti,” tambah beliau.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menjamin kelestarian industri perikanan negara, yang bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan makanan nasional, tetapi juga menjana pendapatan kepada puluhan ribu nelayan di seluruh negara.