SelangorToday

LITAR SEPANG DIPERTIMBANGKAN SEBAGAI LOKASI PEMBUKAAN SUKMA SELANGOR 2026

Jawatankuasa Pengelola (Induk) Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA XX11 Selangor 2026 mempertimbangkan Litar Antarabangsa Sepang(SIC) untuk dijadikan sebagai lokasi pembukaan dan penutupan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Jawatankuasa yang bersidang pada Isnin memutuskan bulan Ogos 2026 bagi penganjuran sukan itu di Selangor.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 berkata, Stadium MBPJ menjadi lokasi bagi acara pembukaan dan penutupan rasmi Para SUKMA.

“Jawatankuasa Pengelola (Induk) turut memutuskan pihak sekretariat melakukan pemeriksaan ke atas semua kemudahan dan infrastruktur sukan di seluruh negeri bagi menilai tahap kebolehgunaan.

“Selain itu ia juga bagi mengenalpasti masalah yang perlu ditangani seterusnya menaik taraf kemudahan dan infrastruktur itu segera,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Mesyuarat jawatankuasa pengelola (induk) dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mesyuarat itu turut memutuskan 28 acara sukan dipertandingkan dan lima acara sukan tambahan akan diumumkan.

Manakala kejohanan Para SUKMA XXII Selangor 2026 pula, 10 acara sukan dipertandingkan.Mohd Najwan berkata sekretariat akan membuka penyertaan kepada pereka grafik untuk mencipta logo rasmi kejohanan SUKMA dan Para SUKMA.

“Syarat serta terma pertandingan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Selangor menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026 selepas kali terakhir menganjur sukan berprestij itu pada 1998.

Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Amirudin mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksana program pembangunan sukan sebagai persiapan SUKMA ke-22.

Exit mobile version