KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan sumbangan kelengkapan sekolah bernilai hampir RM180,000 kepada anak-anak nelayan di lima lokasi terpilih di seluruh negara, sebagai usaha meringankan beban persekolahan keluarga nelayan serta menggalakkan kesinambungan pendidikan.
Sumbangan berkenaan melibatkan peruntukan RM50,000 daripada Petroleum Nasional Berhad (Petronas) dan RM25,000 daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), selain sokongan strategik daripada rakan-rakan kerjasama lain.
Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil, berkata program tahunan itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan komuniti nelayan, khususnya dalam membina masa depan generasi baharu yang lebih berdaya saing.
Menurut beliau, berdasarkan rekod sedia ada, masih terdapat sebilangan nelayan yang tercicir daripada pendidikan formal apabila memilih untuk turun ke laut lebih awal tanpa menamatkan persekolahan.
“Program ini merupakan kerjasama strategik antara LKIM, Petronas dan NEKMAT. Ia menjadi satu indikator kepada golongan nelayan bahawa pendidikan itu sangat penting.
“Kita mahu membina satu generasi anak nelayan yang memiliki tahap pendidikan yang mencukupi supaya mereka mempunyai lebih banyak pilihan dan peluang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah yang berlangsung di Kota Kinabalu.
Tambah Faiz, inisiatif seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memberi penekanan kepada pembangunan insan dan kesejahteraan komuniti luar bandar, termasuk golongan nelayan.