SelangorToday

LKIM Salur RM28,000 Bantu Mangsa Kebakaran Rumah Nelayan di Perlis

KANGAR, 26 MAC – Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil turun padang meninjau keadaan mangsa kebakaran rumah nelayan di Kampung Pulau Ketam, Perlis yang berlaku pada 17 Mac lalu, empat hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam lawatan tersebut, beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara memaklumkan bahawa tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan, namun lima keluarga terjejas apabila rumah mereka musnah sepenuhnya.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan di bawah gagasan Malaysia MADANI telah bersetuju membantu membina semula rumah baharu kepada semua mangsa dengan kos sebanyak RM80,000 bagi setiap unit.

“Di peringkat LKIM pula, tindakan segera telah diambil sejurus dimaklumkan mengenai kejadian ini. Saya telah menghubungi Ketua Pengarah LKIM untuk menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga dalam tempoh dua hari selepas kejadian,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa daripada lima keluarga terbabit, tiga merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis dan layak menerima bantuan tambahan di bawah Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan bantuan yang telah disalurkan kepada mangsa adalah sebanyak RM28,000. Antaranya, Razlee Abdul Rahman dan Roslin Musa masing-masing menerima RM11,000, manakala Che Saad Hassan menerima RM6,000,” ujarnya.

Tambah beliau, LKIM memperuntukkan sebanyak RM2 juta setahun bagi Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, dengan had maksimum RM10,000 bagi setiap nelayan yang layak, meliputi bantuan bagi bencana seperti kebakaran, ribut, serta insiden di laut.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa terlibat dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka.

“Kepedulian LKIM bersama kerajaan perpaduan mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan golongan nelayan selaras dengan agenda Malaysia MADANI,” katanya lagi.

Exit mobile version