SelangorToday

LONGKANG MONSUN RETAK PUNCA TANAH RUNTUH DI PUCHONG – IR. IZHAM

Laporan awal berhubung tanah runtuh di Jalan Wawasan di sini, mendapati keretakan longkang monsun menjadi punca insiden yang menjejaskan sembilan rumah, Sabtu lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata keretakan longkang monsun yang terletak di atas tebing menyebabkan air mengalir ke bawah melalui retakan serta mengakibatkan tanah menjadi mendap dan runtuhan cerun berlaku.

“Longkang monsun ini besar dan berada di atas tebing. Keretakan longkang monsun menyebabkan air mengalir ke bawah.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat perkara ini secara teliti melalui konsultan yang akan dilantik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di kawasan tanah runtuh itu.

Beliau berkata, bagi membendung isu itu, kerja-kerja penyambungan saliran longkang monsun akan dibuat supaya air tidak bertakung di kawasan tanah runtuh.

Izham berkata kerja-kerja pemasangan cerucuk fasa pertama dijangka selesai Ahad ini.

“Tujuan utama pemasangan cerucuk itu adalah bagi memastikan tanah di bahagian hadapan rumah yang terjejas lebih selamat dan kukuh, selain mengekang pergerakan tanah daripada berlaku,” katanya.

Katanya, kerja-kerja baik pulih di kawasan tanah runtuh seperti pembinaan longkang monsun, tambakan tanah dan pengukuhan cerun dijangka siap dalam tempoh tiga minggu. – BERNAMA

Exit mobile version