SelangorToday

LPP SEDIAKAN PERUNTUKAN KEPADA PENJARA, BIMBING BANDUAN KEMAHIRAN TANI- MAHFUZ

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang(LPP) Mahfuz Omar berkata LPP menyediakan peruntukan kepada Jabatan Penjara untuk menjalankan latihan, kemahiran dan tunjuk ajar mengenai sektor pertanian kepada banduan yang berada di penghujung tempoh tahanan. Tambah beliau, kerjasama ini telah pun bermula di Labuan, Kuala Krai dan Perlis serta empat penjara dalam perancangan lain. LPP juga akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran dibawah Kementerian Sumber Manusia untuk memperkasakan program ini. Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH ditemui di Majlis Perasmian Jualan Agro Madani Mega di Lotus Ampang Sabtu lalu.

Dalam Majlis yang sama, berlangsungnya Majlis Pertukaran Nota Kerjasama antara LPP dengan Jabatan Penjara berkenaan latihan kemahiran kerjaya dalam bidang pertanian. Mengenai penganjuran Program Jualan Agro Madani yang diadakan sejak tahun lalu, Mahfuz berkata program tersebut menjadi tempat pertemuan antara usahawan-usahawan tempatan bagi memperkenalkan produk masing-masing. Kata beliau lagi, dalam platform ini, penganjur akan cuba mempertemukan usahawan yang lahir dari bimbingan LPP, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) supaya mereka boleh memasarkan produk mereka.

Program Agro Madani anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sepanjang tahun lalu mencatatkan nilai jualan RM93.7 juta membabitkan penyertaan 74,800 usahawan. Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata program Jualan Agro Madani dianjurkan sebanyak 5,608 sesi, iaitu melebihi sasaran 5,000 sesi dan berjaya menarik 2.9 juta pengunjung di sepanjang penganjuran program berkenaan. – SelangorToday

Exit mobile version