 
                KENINGAU, 23 Sept – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Mahfuz Omar mendakwa wujud pakatan antara pihak asing dan pembangkang tempatan yang bersekongkol menyebarkan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia.
Menurutnya, dua tuduhan yang timbul baru-baru ini jelas bermotif politik jahat – iaitu dakwaan bekas pegawai Amerika Syarikat, Jonothan Schanzer kononnya Malaysia menjadi pusat operasi Hamas, serta tuduhan pembangkang pada Oktober 2024 bahawa Perdana Menteri pro-Israel.
“Luar menuduh Malaysia pro-Hamas, dalam pula menuduh PMX pro-Israel. Hakikatnya, kedua-duanya adalah fitnah, satu agenda bersama mahu menjatuhkan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mahfuz menegaskan dasar Malaysia tidak pernah berubah – negara ini tidak mengiktiraf Israel, konsisten mengutuk kekejaman Zionis dan terus menyokong perjuangan Palestin.
Beliau juga menyifatkan tuduhan pembangkang sebagai “modal politik kotor” yang bertujuan menanam kebencian rakyat terhadap kepimpinan kerajaan.
“Rakyat perlu bijak menolak propaganda jahat ini. Malaysia tidak akan tunduk pada fitnah, ugutan atau percubaan merosakkan kedaulatan negara,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mahfuz menyeru rakyat mendoakan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang sedang berusaha memecahkan kepungan Israel bagi menghantar bantuan makanan dan ubatan kepada rakyat Palestin.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            