SelangorToday

LUAS BERTINDAK PANTAS ELAK SUMBER AIR TERCEMAR AKIBAT TUMPAHAN MINYAK LORI SAWIT

Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelak gangguan bekalan air susulan insiden kemalangan membabitkan lori tangki muatan minyak kelapa sawit di Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur, semalam.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya menerima maklumat itu daripada syarikat pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), ANIH Berhad berhubung kejadian di Kilometer 36.8 lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata lokasi kemalangan terletak berdekatan sumber air di Sungai Gombak yang membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Gombak pada jarak 8.8 km dan LRA Wangsa Maju pada jarak 17.2 km.

“Insiden kemalangan ini menyebabkan berlakunya tumpahan minyak kenderaan terlibat masuk ke dalam longkang berhampiran lebuh raya.

“LUAS segera berkomunikasi dengan ANIH Berhad agar tindakan kawalan tumpahan dan pembersihan dapat dilaksanakan serta-merta yang mana ia berpotensi memberi risiko pencemaran kepada sumber air berhampiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Jamaliah, ANIH Berhad berjaya mengawal tumpahan minyak dengan langkah pencegahan awal iaitu membina ban di dalam longkang terlibat bagi menyekat aliran tumpahan minyak.

Jelasnya, semakan LUAS mendapati tiada aliran tumpahan minyak mengalir ke sungai berhampiran dan kerja pembersihan dilaksana oleh pemilik kenderaan dengan kerjasama ANIH Berhad dan pihak polis.

“Pasukan LUAS telah berada di lokasi memantau rapi kerja pembersihan dan penyedutan tersebut sehingga selesai pada 2.30 pagi tadi. Secara keseluruhannya tiada gangguan kepada operasi LRA dilaporkan.

“Kerajaan Negeri dan LUAS merakamkan penghargaan kepada ANIH Berhad dan semua pihak terlibat kerana berjaya mengawal risiko insiden daripada menyebabkan pencemaran kepada sumber air negeri,” katanya. – SelangorKini

Exit mobile version