SelangorToday

MAAHAD TAHFIZ SELANGOR BAKAL DIPERLUAS KE SEMBILAN DAERAH – DR FAHMI

Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program pendidikan tahfiz di Selangor melalui Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) bakal diperluaskan merangkumi sembilan daerah di Selangor. Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, usaha merupakan manifestasi kerajaan negeri dalam memperkukuhkan institusi pendidikan aliran Islam di Selangor. Kata beliau, setakat ini MITS mempunyai empat institut termasuk di Sabak Bernam dan Klang. 

Ketika ditemui dalam program ibadah korban di Surau Al-Bukhary Laman Glenmarie semalam, Dr. Fahmi menegaskan pengukuhan MITS juga bukan sekadar menambah baik kurikulum dan sukatan pelajaran sahaja malah ia turut melibatkan penyerapan kemahiran teknologi seperti kecerdasan buatan(AI) serta kelengkapan fasiliti sukan. Tumpuan kepada Sains dan Teknologi di MITS seiring dengan aspirasi pendidikan umum yang diketengahkan oleh kerajaan negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia itu kemudian menggesa institusi tahfiz persendirian yang belum mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar berbuat demikian melalui Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (PITAS). Katanya lagi, pengusaha tahfiz perlu berbuat demikian bagi melayakkan mereka menyertai program pemutihan. Sebelum ini, Dr.Fahmi berkata 724 institusi tahfiz persendirian dikesan beroperasi tanpa mendaftar dengan Jais setakat 31 Mac lalu dan menggesa pengusaha mendaftar melalui PITAS sebelum 31 Disember depan.- SelangorToday

Exit mobile version