
SHAH ALAM, 10 Jun 2025 – Program Mahabbah Korban 1446H anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah dan bermakna di Kompleks KITA B3, Dewan Beringin Seksyen 24, Shah Alam.
Program tahunan itu menyaksikan kerjasama erat antara DUN Batu Tiga, Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Awan Shah Alam, dengan kehadiran istimewa seramai 15 pelajar berkeperluan khas daripada ANIS yang menyertai secara langsung aktiviti ibadah korban.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, YB Danial Al Rashid Harun, penglibatan anak-anak istimewa ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan inklusif dalam penghayatan nilai keagamaan dan budaya.

“Melalui pendekatan berbentuk simulasi dan pemerhatian, peserta istimewa ini didedahkan secara berperingkat kepada keseluruhan proses korban – dari taklimat awal, penyembelihan, pelapahan, pemotongan hingga ke proses pembungkusan. Ia bukan sahaja memberi pendedahan, malah membantu mereka memahami nilai ibadah dengan lebih dekat dan bersesuaian dengan tahap kefahaman masing-masing,” jelas beliau.

YB Danial turut menekankan bahawa pendekatan inklusif sebegini seharusnya diperluaskan bagi memastikan golongan berkeperluan khas tidak terpinggir dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
Program Mahabbah Korban ini bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Batu Tiga, tetapi juga membuktikan bahawa masyarakat inklusif boleh dicapai melalui usaha yang dirancang dengan teliti dan penuh empati.