
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang mendakwa kononnya majoriti pengundi di Ayer Kuning mahu kerajaan sedia ada ditukar.
Menurut Mahfuz, dakwaan tersebut hanyalah cerminan sindiran terhadap pembangkang sendiri yang terlalu ghairah menjaja isu pertukaran kerajaan walaupun prestasi Kerajaan Perpaduan ketika ini berada pada tahap yang baik.

“Itu sebenarnya sindiran orang kepada mereka (Pas) yang asyik jaja isu tukar kerajaan. Tidak ada orang yang waras mahu tukar kerajaan sekarang, sedangkan prestasinya baik. Harga telur murah, ayam pun tiada masalah sepanjang Ramadan dan Hari Raya. Keadaan aman, rakyat bersyukur.
“Jangan kata orang waras, orang tak waras pun takkan tukar kerajaan sebab sekarang telur ayam murah!” katanya secara berseloroh ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, Khamis.
Mahfuz turut menyatakan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berdasarkan sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Beliau menegaskan bahawa kempen yang dimainkan Pas setakat ini tidak memberi kesan besar kerana rakyat kini lebih bijak dan tidak lagi terpengaruh dengan naratif lapuk seperti ‘Islam terancam’ atau ‘Melayu tergugat’.
“Rakyat sudah muak dengan isu sebegitu. Tiada masalah serius berkaitan hubungan antara kaum, Melayu tidak terancam, bukan Melayu juga tiada masalah. Kerajaan menjaga kepentingan semua kaum dengan baik,” ujarnya.

PRK DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon PN, Abdul Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.