Human Resources Deputy Minister Datuk Mahfuz Omar and Socso CEO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed at press conference Starpic by kamarul Ariffin/19.12.2018
ALOR SETAR: Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) disifatkan sebagai langkah penting yang mencerminkan kesedaran kerajaan bahawa isu makanan bukan lagi isu pinggiran, sebaliknya menyentuh soal keselamatan, keadilan sosial dan kedaulatan negara.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Mahfuz Omar berkata, kejayaan dasar tersebut tidak akan ditentukan oleh keindahan dokumen atau banyaknya inisiatif yang diumumkan, tetapi bergantung kepada keberanian politik untuk membetulkan struktur sistem makanan negara.
Menurut beliau, kenaikan harga makanan ketika ini bukan semata-mata berpunca daripada peladang atau kekurangan bekalan, sebaliknya berpunca daripada struktur pasaran yang membenarkan manipulasi, monopoli dan ketidakseimbangan kuasa dalam rantaian bekalan.
“Jika isu orang tengah dan kartel tidak ditangani secara serius, keterjaminan makanan akan kekal sebagai slogan, bukan realiti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz turut menegaskan bahawa peladang kekal sebagai kumpulan paling berisiko dalam sistem sedia ada, menanggung kos pengeluaran, ketidaktentuan cuaca dan harga, sedangkan keuntungan tertumpu di hujung rantaian bekalan.
Beliau berkata, selagi peladang bergantung kepada subsidi semata-mata, selagi itulah sistem makanan negara berada dalam keadaan rapuh.
Dalam pada itu, Mahfuz menekankan bahawa DKMN 2030 perlu difahami sebagai isu akhlak dan keadilan, bukan ekonomi semata-mata, sambil menegaskan pembaziran, sorok bekalan dan manipulasi harga merupakan kegagalan moral yang perlu ditangani dengan tegas.
Mengulas penglibatan generasi muda, beliau berkata golongan tersebut bukan menolak sektor pertanian, sebaliknya menolak masa depan tanpa maruah ekonomi.
“Tanpa reformasi yang menjadikan pertanian sektor bernilai tinggi, berteknologi dan berasaskan pemilikan ekuiti, dasar ini akan gagal menarik generasi pelapis,” katanya.
Mahfuz menegaskan, keterjaminan makanan sebenar tidak diukur melalui laporan tahunan yang kelihatan cantik, tetapi apabila rakyat tidak cemas mendapatkan makanan, peladang hidup bermaruah dan negara tidak panik ketika dunia berdepan krisis.
“Keterjaminan makanan bukan soal pasaran semata-mata, ia soal melindungi manusia,” katanya.