SelangorToday

Mahfuz: Hamzah & Pembangkang Hilang Arah, Tak Faham Undang-Undang

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar, menyifatkan gesaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai tindakan tidak berakal dan melambangkan keputusasaan politik pembangkang.

Menurut Mahfuz, negara kini berada dalam keadaan stabil dengan pemulihan ekonomi yang ketara, pelaburan asing terus meningkat dan hubungan antarabangsa Malaysia kembali dihormati di bawah kepimpinan Perdana Menteri.

“Tatkala rakyat gembira menikmati hasil kestabilan ini, Hamzah pula sibuk menjerit minta PM letak jawatan hanya kerana RUU Penyelarasan Sempadan dan Bidang Kuasa serta kedatangan Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, RUU PSB (URA) bukan agenda peribadi Perdana Menteri tetapi sebahagian proses penyelarasan teknikal antara sempadan negeri dan bidang kuasa persekutuan yang rutin dalam sistem legislatif negara.

“Kalau Hamzah tak faham proses undang-undang, belajar dulu. Parlimen bukan warung kopi tempat sembang kosong. Ia medan menggubal undang-undang, bukan tempat fitnah dan emosi,” sindir Mahfuz.

Tambah beliau, kehadiran bekas Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN juga tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia atas kapasiti forum antarabangsa dan bukan lawatan rasmi kerajaan Malaysia.

“Tapi kerana haus perhatian, Hamzah cuba jadikan isu antarabangsa ini modal politik murahan,” ujarnya lagi.

Mahfuz turut mengecam tindakan pembangkang yang menurutnya semakin hilang arah dan tidak membawa sebarang cadangan bernas kepada rakyat.

“Nak PM letak jawatan, bawalah usul tidak percaya di Parlimen, bukannya menjerit tepi longkang depan Sogo,” tegas beliau.

Katanya lagi, lebih memalukan apabila PAS sendiri mengangkat Hamzah sebagai calon Perdana Menteri sedangkan taraf pemikirannya tidak menggambarkan keupayaan untuk mentadbir negara.

“Kalau pemikiran begini pun dianggap layak memimpin, bayangkan nasib rakyat kalau mereka kembali berkuasa,” kata Mahfuz.

Beliau menegaskan bahawa ketika kerajaan gigih memulihkan ekonomi dan memperkukuh pentadbiran, pembangkang pula sibuk mencipta alasan bagi menimbulkan kekacauan.

“Rakyat sekarang semakin matang. Mereka tahu siapa yang bekerja dan siapa yang berdrama,” katanya menutup kenyataan.

Exit mobile version