SelangorToday

Mahfuz: Kerajaan PN Dulu Ramai Menteri, Tapi Gagal

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti AMANAH Negara, Dato’ Hj Mahfuz Omar mengkritik prestasi jemaah menteri pada era pentadbiran terdahulu yang menurutnya gagal menunjukkan keberkesanan dalam mengurus ekonomi dan menangani beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, meskipun jumlah menteri dan timbalan menteri ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah besar, namun prestasi mereka tidak mencerminkan keupayaan sebenar kerajaan.

“Saya pernah menggelarkan zaman Muhyiddin dan Ismail Sabri itu penuh dengan jemaah menteri dan timbalan menteri, tetapi tidak perform, tidak berjaya mengangkat ekonomi dan tidak berjaya mengeluarkan masyarakat daripada beban sara hidup yang sangat tinggi,” katanya dalam satu ucapan.

Sebaliknya, Mahfuz berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan telah menunjukkan perubahan ketara dengan berjaya memulihkan ekonomi negara serta mengangkat semula nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, pengukuhan nilai mata wang negara menjadi antara indikator jelas kejayaan tersebut, selain peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

“Apabila orang melihat mata wang kita makin mengukuh, itu satu pencapaian yang sangat hebat. Kepercayaan masyarakat antarabangsa dari segi pelaburan juga sangat tinggi,” katanya.

Mahfuz menegaskan pencapaian itu membuktikan hala tuju pentadbiran semasa berada di landasan yang betul, khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi dan mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz turut menempelak bekas Menteri, Tan Sri Noh Omar yang mempersoalkan pelantikan Steven Sim, pemimpin DAP, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menurut Mahfuz, kritikan tersebut tidak wajar memandangkan Steven Sim sebelum ini telah menunjukkan prestasi yang baik semasa menerajui Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, sepanjang berada di kementerian itu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memperkemaskan struktur pekerjaan di Malaysia yang majoritinya melibatkan anak Melayu.

Mahfuz menegaskan prestasi dan kemampuan seseorang menteri wajar dinilai berdasarkan hasil kerja serta sumbangan kepada rakyat, bukannya sentimen politik atau latar belakang parti semata-mata.

Exit mobile version