 
                Human Resources Deputy Minister Datuk Mahfuz Omar and Socso CEO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed at press conference Starpic by kamarul Ariffin/19.12.2018
Sungai Siput, 26 Sept 2025 — Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar menyifatkan Pemuda PAS sebagai sekadar “tin biskut raya kosong” apabila hanya pandai membuat bising dengan kritikan terhadap dasar kerajaan, namun gagal mengemukakan sebarang solusi alternatif.
Menurut beliau, kenyataan Pemuda PAS mengenai program Budi 95 hanyalah pengulangan retorik lama tanpa cadangan praktikal untuk memperbaiki sistem subsidi.
“Anih bila generasi muda dari parti politik yang berangan nak jadi PM menuduh kerajaan gagal, tetapi tidak pula mereka bentangkan pelan bagaimana subsidi boleh diagih dengan lebih baik. Mekanisme elak ketirisan pun tiada, strategi fiskal jangka panjang pun tiada,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz menegaskan bahawa kerajaan kini sedang bergerak ke arah reformasi subsidi yang lebih adil dan mampan melalui Budi 95. Walaupun tidak sempurna, katanya, ia jauh lebih baik daripada mengekalkan subsidi pukal yang merugikan negara seperti yang gagal ditangani PAS ketika mereka berkuasa.
Beliau turut menyindir sikap Pemuda PAS yang hanya tahu mencari kelemahan pihak lain tetapi tidak mengemukakan dasar alternatif yang realistik untuk rakyat.
“Janganlah Pemuda PAS hanya pandai buat bising, tetapi bila ditanya solusi, mereka kosong. Cakap besar konon nak bela rakyat, tapi bila ditanya jawapan kosong macam tin biskut raya lepas Syawal,” katanya lagi.
Mahfuz turut membuat perumpamaan pedas dengan menyamakan Pemuda PAS seperti pasukan bola yang hanya pandai menjerit dari tepi padang, tetapi bila masuk ke gelanggang, “cari bola pun tak jumpa”.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Mahfuz daripada Info Ternak Sungai Siput, Perak, sebagai respons kepada kritikan terbaru Pemuda PAS terhadap dasar subsidi kerajaan MADANI.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            