 
                KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Dato’ Wira Mahfuz Omar hari ini menggesa agar satu sidang khas Parlimen diadakan segera bagi membincangkan pendirian rasmi Malaysia susulan konflik ketenteraan yang semakin memuncak antara Israel-Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran.
Dalam satu kenyataan media, Mahfuz menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan ketenteraan berskala besar yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat, yang menurut beliau telah mengakibatkan kemusnahan infrastruktur awam dan kehilangan nyawa rakyat awam di Iran.
“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan Iran, malah membuka ruang kepada konflik serantau yang mampu menggugat kestabilan global – termasuk Asia Tenggara,” ujar beliau.

Desak Tiga Perkara Dibahaskan di Parlimen
Mahfuz mencadangkan agar sidang khas Parlimen itu memberi tumpuan kepada tiga perkara utama:
- Pendirian rasmi Malaysia terhadap konflik ini dan tindakan diplomatik yang perlu diambil.
- Kesan geopolitik dan ekonomi terhadap negara, khususnya berkaitan harga minyak, rantaian bekalan dan keselamatan serantau.
- Langkah kemanusiaan untuk membantu rakyat Iran yang terkesan akibat serangan.
Beliau menegaskan bahawa Parlimen, sebagai institusi demokrasi tertinggi negara, tidak boleh berdiam diri dalam isu yang melibatkan keadilan sejagat, kedaulatan sesebuah negara dan kemanusiaan sejagat.
“Suara rakyat Malaysia mesti dizahirkan melalui saluran sah dan terhormat, iaitu Dewan Rakyat,” tegasnya.

Malaysia Mesti Kekal Konsisten dan Bermaruah
Mahfuz turut menyeru agar Malaysia kekal dengan pendirian berkecuali yang bermaruah, menolak sekeras-kerasnya segala bentuk penjajahan, pencerobohan dan pencabulan undang-undang antarabangsa.
Katanya lagi, negara ini mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memainkan peranan aktif dalam menggerakkan agenda keamanan global melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN.
Akhir sekali, beliau menyeru agar Perdana Menteri mempertimbangkan dengan segera keperluan sidang khas ini demi menjunjung prinsip keadilan dan kemanusiaan yang menjadi teras dasar luar Malaysia.
“Rakyat Malaysia menolak keganasan dan mendokong penyelesaian damai. Maka suara negara ini perlu jelas, bermaruah dan lantang di pentas antarabangsa,” kata Mahfuz.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            