 
                SHAH ALAM, 2 Julai 2025 – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar hari ini membidas tindakan PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang terus menghasut rakyat melalui siri himpunan jalanan seperti “Turun Anwar”, yang disifatkan beliau sebagai modal politik sempit yang membahayakan kestabilan negara.
Menurut Mahfuz, tindakan pembangkang menjadikan isu penyasaran subsidi, cukai SST dan tarif elektrik sebagai bahan bakar kemarahan rakyat hanyalah satu strategi untuk menggugat usaha pemulihan ekonomi yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Politik Malaysia tidak akan ke hadapan jika PAS terus memilih jalan provokasi dan sentimen tanpa menawarkan penyelesaian realistik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, langkah kerajaan menyemak struktur subsidi dan cukai bukan bertujuan menyusahkan rakyat, sebaliknya untuk mengelakkan ketirisan yang selama ini turut menguntungkan golongan kaya dan warga asing.
“Kita tidak boleh terus hidup dengan subsidi pukal. Itu bukan keadilan, itu kebocoran,” tegas Mahfuz.
Beliau turut menyelar PAS yang menurutnya gagal menunjukkan prestasi meyakinkan di negeri-negeri yang dikuasai seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis — di mana masalah asas seperti bekalan air dan kekurangan peluang pekerjaan masih berlarutan.
“Pengurusan negeri pun sebahagian besarnya dibantu Kerajaan Persekutuan. Tapi mereka mahu tunjuk pandai dalam soal ekonomi negara,” sindirnya.
Mahfuz juga menyifatkan himpunan seperti “Turun Anwar” bukanlah gambaran suara rakyat sebenar, sebaliknya hanya mobilisasi ahli parti yang taksub kepada pemimpin tertentu.
“Ini bukan suara rakyat. Ini strategi untuk membakar emosi dan menggagalkan usaha memulihkan keyakinan pelabur dan ekonomi negara,” ujar beliau.
Akhirnya, Mahfuz menyeru agar rakyat menolak pendekatan politik emosi dan jalanan yang menurutnya hanya merugikan masa depan negara.
“Politik bukan sekadar jeritan di jalan raya. Ia tentang keberanian membuat keputusan sukar demi rakyat dan negara,” katanya.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            