 
                Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menyindir Ahli Parlimen Temerloh yang menuduh program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai dasar “komunis”, dengan menyifatkan kenyataan itu tanda gagal memahami dasar kebajikan kerajaan Madani.
“Kenyataan YB Makcik MP Temerloh yang kata SARA ini sistem komunis menunjukkan satu masalah serius — tak faham dasar, tapi nak tunjuk pandai dalam ideologi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahfuz menjelaskan bahawa SARA mempunyai dua bentuk bantuan — pertama, bantuan bulanan untuk keluarga B40 dan asnaf, dan kedua, bantuan one-off untuk semua rakyat dewasa sebagai langkah merangsang ekonomi domestik selepas tekanan inflasi.
“Bantuan one-off itu bukan dasar ‘sama rata’, tapi suntikan ekonomi jangka pendek bagi menggerakkan semula perbelanjaan rakyat,” katanya.
Menurut Mahfuz, amalan memberi bantuan tunai secara menyeluruh juga dilakukan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura, namun hanya di Malaysia ada ahli politik yang menggelarnya komunis.
“Hanya di Malaysia nampaknya bila kerajaan bantu rakyat, terus jerit ‘komunis’,” sinisnya.

Beliau turut menyindir sikap wakil rakyat berkenaan yang dilihat cepat menuduh tanpa memahami konteks.
“Kalau memberi kepada miskin dikata komunis, memberi kepada semua pun dikata komunis — agaknya apa yang bukan komunis bagi YB Makcik MP Temerloh ni?
Mungkin bila duit bantuan tu datang dari tangan Makcik sendiri, baru jadi ‘Islamik’,” katanya lagi.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa SARA bukan dasar sama rata, tetapi dasar keadilan sosial yang menyalurkan bantuan secara bersasar.
“Yang miskin dibantu berterusan, yang lain menerima suntikan kecil sebagai penggerak ekonomi. Itu bukan ideologi kiri, tapi dasar negara Madani yang peduli,” katanya.
Beliau menasihatkan Ahli Parlimen Temerloh supaya meneliti semula konsep asas dalam ekonomi dan kemanusiaan sebelum mengulas dasar kerajaan.
“Sebelum persoalkan sistem negara, eloklah semak dulu beza antara komunisme, kapitalisme dan kemanusiaan.
Bila gagal beza tiga benda tu, memanglah setiap dasar kebajikan nampak macam hantu komunis dalam kepala sendiri,” sindir Mahfuz.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            