Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar hari ini menempelak tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirkannya daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara. Mahfuz ketika dihubungi Bernama mendakwa la satu kenyataan yang sangat jahat dan menyifatkan Menteri Besar Kedah itu cuba menarik simpati orang ramai dengan menggambarkan seolah-olah negeri Kedah dianiaya melalui penganiayaan terhadap dirinya.
“Sedangkan dia (Muhammad Sanusi) sendiri menyatakan bahawa dia tidak ada bukti, macam mana dia bercakap tak ada bukti (dan) boleh dilontarkan kepada umum sedemikian rupa? Ini satu perbuatan jahat untuk menggambarkan keburukan dan mencalarkan imej Kerajaan Perpaduan.
“…bagi saya la sesuatu yang sangat tidak menggambarkan kebijaksanaan, kebertanggungjawabannya sebagai seorang Menteri Besar (yang) bercakap tanpa bukti,…cakap tanpa bukti adalah fitnah,” katanya.
Ahad lepas, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa ada usaha untuk menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara, dan beliau turut mendakwa gerakan itu berlaku akibat kelantangannya mengkritik Kerajaan Persekutuan.
Mahfuz menegaskan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keanggotaan Majlis Kewangan Negara adalah terdiri daripada seorang Perdana Menteri atau mana-mana menteri dilantik dan seorang wakil dari setiap negeri yang diperkenan oleh Sultan atau Yang Dipertua Negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata itu bermakna hanya Sultan Kedah boleh menyingkirkan Menteri Besar Kedah daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara, sekali gus dakwaan Muhammad Sanusi itu seolah-oleh merendahkan keupayaan dan martabat seorang Sultan.
“Maknanya ikut kuasa mutlak Sultan untuk nak letak siapa pun bagi mewakili Kedah ke dalam Majlis Kewangan Negara. Jadi bila dia (Muhammad Sanusi) menyatakan bahawa ada orang yang sedang melobi Sultan, dia merendahkan Sultan, seolah- olah seorang Sultan ini tidak boleh buat keputusan dan nilai sendiri siapa yang mewakili negeri,” katanya.
Mahfuz seterusnya menuntut Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf kerana menurutnya perbuatan Menteri Besar Kedah itu adalah satu tindakan biadap, kerana seolah-olah memperlekehkan kuasa Raja dan Sultan.