
KUALA LUMPUR, 6 Jun — Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, menyelar keras tindakan parti pembangkang khususnya PAS dan Perikatan Nasional yang didakwanya memperalatkan sentimen Melayu demi kepentingan politik sempit.
Berucap dalam satu audio siar beberapa hari lalu, Mahfuz mempertikaikan retorik pembangkang yang menurutnya cuba menanam ketakutan dalam kalangan orang Melayu kononnya kerajaan sedang mengancam masa depan bangsa itu.
“Melayu berdaulatkah, atau Melayu diperalat? PAS, Perikatan Nasional dan Himpunan Sekretariat bukan sedang memperjuangkan kedaulatan Melayu, sebaliknya sedang memperalatkan orang Melayu untuk agenda politik mereka,” tegas beliau.
Menurut Mahfuz, tindakan membakar sentimen perkauman dan menyebarkan naratif palsu seperti dakwaan bahawa Melayu akan menjadi seperti rakyat Palestin atau Melayu Singapura adalah tidak bertanggungjawab dan memperdaya masyarakat.
“Kononnya Melayu akan dihalau dari Kuala Lumpur, jadi gelandangan, konon kerajaan nak hancurkan orang Melayu — semua ini cerita tak betul. Yang dibentangkan hanyalah draf, bukan undang-undang pun lagi. Kalau semak betul-betul, tak ada satu pun yang mengancam kepentingan Melayu,” katanya lagi.

Mahfuz menjelaskan bahawa dasar kerajaan hari ini bertujuan untuk mengangkat martabat Melayu, bukan mengikat mereka kepada ketakutan dan kejumudan.
“Kita mahu Melayu menjadi bangsa hebat yang dihormati kawan dan lawan. Tapi pembangkang nak ikat kaki orang Melayu supaya tak boleh berubah, tak boleh maju ke hadapan.”
Beliau turut menggesa wakil rakyat pembangkang agar berhenti menolak semata-mata untuk meraih sokongan politik, sebaliknya membawa cadangan yang membina apabila draf undang-undang berkaitan dibentangkan di Parlimen bulan ini.
“Kalau benar sayang bangsa, bawalah idea untuk memperkukuh dan memperkasakan undang-undang itu. Bukan menakut-nakutkan rakyat hingga orang Melayu yang duduk di flat rasa seperti gelandangan di negara sendiri,” katanya.
Mahfuz menegaskan bahawa perjuangan sebenar adalah untuk menjulang martabat Melayu secara inklusif dan progresif, bukan menunggang sentimen kaum demi undi.