SelangorToday

MAJLIS TINDAKAN OKU SELANGOR GESA KERAJAAN, PIHAK SWASTA TANGANI CABARAN KELUARGA AUTISME

Majlis Tindakan OKU Selangor(MTOS) menggesa kerajaan mengambil langkah bersepadu dalam menangani cabaran yang wujud terhadap keluarga yang mempunyai anak autisme. Pengerusinya, Danial Al-Rashid Harun berkata, ada dua isu utama yang menjadi tumpuan keluarga yang mempunyai anak autisme. Pertamanya, kos yang tinggi untuk menyediakan perkhidmatan terapi yang diperlukan bagi pembangunan anak autisme. Kata beliau, meskipun terdapat pusat intervensi swasta yang menawarkan pelbagai jenis terapi, namun kos yang tinggi menyebabkan ia tidak berdaya maju bagi sesetengah keluarga. Jelas ia memberi tekanan kewangan kepada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Kedua, Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor menjelaskan, masalah kekurangan pakar dalam bidang tersebut memberi kesan  yang signifikan. Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila Malaysia mengalami kekurangan pakar yang mahir dalam mengurus intervensi terutamanya kepada kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah autisme termasuk masalah pembelajaran. Maka atas dua cabaran ini, MTOS menggesa pihak kerajaan dan swasta menanganinya dengan lebih terpandu sempena bulan autisme. Kata Danial lagi, langkah-langkah untuk meningkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan terapi dengan kos yang berpatutan serta meningkatkan latihan dan pengembangan pakar dalam bidang intervensi autisme amat penting kepada masyarakat.

Mengulas harapan MTOS, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu bercita-cita untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar inklusif, di mana setiap suara didengar dan setiap individu dihargai. MTOS berusaha keras untuk menyediakan sokongan yang diperlukan kepada komuniti OKU, termasuk individu yang mempunyai autisme, agar mereka dapat mengakses pendidikan, pekerjaan, dan peluang sosial dengan mudah. Danial menyeru agar semua pihak  bersama-sama dalam perjalanan ini, dengan harapan bahawa setiap langkah yang kita ambil akan membawa kepada sebuah masa depan yang lebih cerah bagi semua individu, termasuk individu dalam spektrum autisme. – SelangorToday

Exit mobile version