Malaysia bakal menerima segera agihan ubat antivirus Tecovirimat (TPOXX) dan Vaksin MVA-BN bagi virus MPox atau cacar monyet melalui ‘COVID-19 ASEAN Response Fun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ubat serta vaksin itu hanya akan diberi kepada golongan sasar sahaja.
“TPOXX diguna dalam rawatan MPox, khususnya kepada mereka yang mengalami jangkitan teruk atau mereka yang punya imuniti lemah.
“Pemberian vaksin MVA-BN Mpox hanya diberi berdasarkan pemeriksaan dan penilaian pakar perubatan,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.
Dzulkefly berkata, setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan melakukan vaksinasi umum kepada orang ramai.
“Vaksin MVA-BN hanya khas kepada kumpulan berisiko tinggi termasuk petugas kesihatan dan kontak rapat kes yang disahkan,” katanya.
Khamis lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, seramai 3.26 juta pengembara melalui saringan Mpox di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, perkara itu sebagai kesiapsiagaan operasi dan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang situasi berkaitan Mpox.
“Kira-kira 34 kes disyaki Mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan dan hasil dapatan ujian berkenaan mendapati semuanya negatif.
“Sejumlah 34 kes yang disyaki dan apabila kita ikuti perkembangan kes ini dapatannya tiada satu pun yang positif. Semuanya negatif, alhamdulillah. Saya kira situasi ini sangat terkawal dan kita akan lebih berjaga-jaga,” katanya.
Beliau berkata, KKM turut menyediakan bilik pemeriksaan berhampiran C22 di Terminal 1 KLIA untuk pengembara daripada lokasi berisiko tinggi virus MPox bagi mendapatkan pemeriksaan tambahan.
“Seramai 30 kakitangan KKM bertugas sepanjang masa di bilik pemeriksaan itu membabitkan tiga syif waktu bekerja dan pintu masuk di seluruh negara turut mengambil langkah yang sama.
“Selain daripada dua makmal milik kerajaan iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), lapan makmal universiti awam kini turut melakukan analisis lebih mendalam,” katanya.
Katanya, lapan universiti itu adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Pada 14 Ogos lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global susulan lonjakan kes strain baharu mpox, Clade 1b, di Republik Demokraktik Congo (DRC) yang turut merebak ke negara-negara berdekatan.
Lebih 18,000 kes disyaki Mpox termasuk 629 kematian dilaporkan di DRC, tahun ini hingga kini.
Sweden dan Thailand juga mengesahkan kes Clade Ib, sekali gus mencatat penularan strain virus itu di luar DRC dan negara-negara jirannya. – Berita Harian