SelangorToday

MALAYSIA DITAWAR MENJADI TUAN RUMAH KEJOHANAN SEPAKTAKRAW PIALA ASIA EDISI PERTAMA

Malaysia telah ditawarkan sebagai tuan rumah bagi edisi pertama Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia yang bakal diadakan pada tahun 2025. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia atau Asian Sepaktakraw Federation (ASTAF), tawaran tersebut dibuat selepas Jawatankuasa Tertinggi ASTAF bermesyuarat di Kota Bangkok baru-baru ini. Dalam kenyataan tersebut lagi, ASTAF menyatakan pertimbangan itu telah mengambil kira kesiapsiagaan dan keupayaan beberapa negara yang disenaraikan sebagai calon tuan rumah. Namun jawatankuasa ASTAF sebulat suara melantik Malaysia sebagai tuan rumah edisi kali ini.

Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berharap Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Sumali Reduan dan pimpinan PSM dapat mempertimbangkan tawaran tersebut memandangkan beberapa asas yang berjaya diperlihatkan oleh sukan sepaktakraw di Malaysia baru-baru ini. Abdul Halim menyenaraikan beberapa asas tersebut termasuk kejayaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PSM dalam menganjurkan ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur dengan begitu cemerlang pada penghujung Mei lalu. 

Turut menjadi asas yang mengukuhkan pilihan ASTAF itu adalah komitmen Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berperanan penting dalam memastikan ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur berjaya dianjurkan. Kehadiran beliau dalam setiap kali acara sama ada untuk memberi semangat kepada pemain mahupun melihat persiapan kejohanan menjadi satu lambang kesungguhan Malaysia dalam mengangkat sukan sepaktakraw di persada dunia. Tambahan lagi, usaha gigih Presiden PSM dalam mengilhamkan penghasilan lagu Tema dan Trofi Piala Dunia Kuala Lumpur telah menyerlahkan lagi kepimpinan beliau dalam kejohanan berprestij itu.

Menurut Abdul Halim lagi, format dan tiga acara yang akan dicadangkan kepada Federasi Sukan Sea yang beribu pejabat di Kota Bangkok melibatkan acara Regu Berpasukan, Regu, Double dan Quadran. Abdul Halim mewakili ASTAF berharap PSM dapat memikirkan sehabis baik tawaran tersebut dan memberi maklum balas positif. – SelangorToday

Exit mobile version