SelangorToday

MALAYSIA DITUBUHKAN ATAS PERMUAFAKATAN SEMUA KAUM, MAKA IA PERLU DIPERTAHANKAN – DR. HATTA

Senator Dr. Mohd Hatta Md Ramli mengingatkan semua pihak bahawa Malaysia merupakan negara yang ditubuhkan melalui permuafakatan semua kaum. Oleh itu, kesepakatan yang telah dibina sejak sekian lama harus dipertahankan dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian kita pada masa ini. Dr. Hatta berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja sempena pembukaan Sidang Parlimen ke 15 Februari lalu di Dewan Negara. Dr. Hatta yang juga Setiausaha Agung AMANAH menambah, belum lagi apabila usaha menubuhkan Malaysia dilakukan melibatkan Sarawak, Sabah dan Singapura, ia mempunyai rencam dan ragam yang pelbagai namun berjaya diatasi dengan sikap toleransi dan kesepakatan. Maka Dr. Hatta menyeru agar semua pihak tidak sengaja memainkan isu yang boleh menimbulkan ketegangan demi kepentingan sendiri.  

Dalam masa yang sama, Dr. Hatta yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan menyokong penuh langkah kerajaan memperkasakan pelaksanaan Perjanjian MA63 dalam kelangsungan kerajaan memajukan Sabah dan Sarawak. Beliau juga mahu Kementerian Perpaduan melipatgandakan usaha meredakan sentimen perbalahan kaum dalam masyarakat. Jalan terakhir kata Dr. Hatta dengan menguatkuasakan undang-undang bagi mengelakkan sebarang amalan untuk mencetuskan ketagangan kaum. Memberikan satu contoh, kerajaan boleh menetapkan satu dasar perumahan yang memerlukan satu kawasan perumahan didiami oleh pelbagai kaum tanpa didominasi oleh satu kaum sahaja. Usaha ini mampu mencetuskan kesedaran dalam masyarakat akan hakikat sebenar bahawa Malaysia perlu hidup dalam masyarakat majmuk.

Ketika memberi maklum balas kepada pertanyaan Senator Abun Sui Anyit, Dr. Hatta juga menyokong saranan Abun yang mahu semua parti politik menghentikan permainan isu perkauman hanya semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat. Kata Dr. Hatta, banyak lagi isu yang boleh dibangkitkan dan diperjuangkan oleh parti politik berbanding isu kaum dan agama. Dalam masa yang sama, Dr. Hatta anggota Majlis Presiden PH menghargai usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah kepada orang awam yang meskipun nampak mudah tetapi memberi impak kepada rakyat susah termasuk pelajar IPT. – Selangor Today

Exit mobile version