Malaysia dan Iran telah memeterai kerjasama strategik dalam bidang kesihatan, satu langkah penting ke arah memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara dan menyokong aspirasi Kertas Putih Kesihatan.
Kerjasama ini turut disertai oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dan merangkumi pelbagai aspek termasuk perkongsian teknologi perubatan, latihan kepakaran serta penyelidikan bersama.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), inisiatif ini berpotensi meningkatkan akses kepada teknologi dan pengetahuan perubatan terkini, khususnya dalam sektor farmaseutikal dan amalan klinikal.
“Kepakaran Iran dalam bidang seperti transplantasi organ dilihat mampu mempertingkatkan mutu rawatan kesihatan dalam negara,” jelas KKM dalam satu kenyataan.

Kerjasama ini juga menyasarkan pembangunan sumber manusia kesihatan melalui program pertukaran, latihan profesional, dan usaha penyelidikan bersama yang dijangka melahirkan tenaga kerja kesihatan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada bidang kesihatan awam seperti nutrisi dan pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), yang semakin menjadi cabaran utama kepada sistem kesihatan negara.
KKM menyifatkan usaha ini sebagai satu pelaburan strategik untuk masa depan kesihatan Malaysia, sejajar dengan komitmen negara dalam membina sistem kesihatan yang inklusif, berdaya tahan dan lestari.