SelangorToday

MALAYSIA KEKAL PENDIRIAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA BERSAMA PALESTIN – TOK MAT

Malaysia kekal dengan pendirian berhubung isu Palestin di platform antarabangsa dan menggariskan empat perkara utama dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, empat perkara itu adalah negara anggota kumpulan D-8 perlu secara sebulat suara menyokong pelaksanaan gencatan senjata kekal dan menghentikan dana serta bantuan kepada Israel termasuk kerjasama ekonomi yang menyumbang kepada ketenteraan termasuk penetapan haram rejim Israel.

Menurutnya, negara kumpulan berkenaan perlu meningkatkan bantuan kemanusiaan dan memastikan bantuan dapat disampaikan dengan selamat serta tanpa halangan kepada Palestin, selain menubuhkan kerjasama antara D-8 dengan Palestin.

“Malaysia dan negara anggota kumpulan D-8 lain bersama-sama menyatakan solidariti dan sokongan jitu kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mencari penyelesaian terhadap krisis di Gaza, seperti digariskan dalam Deklarasi Mesyuarat Tergempar yang diluluskan.

“Deklarasi berkenaan antara lain, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan berterusan Israel di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki, menuntut gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat serta menyokong usaha pemulihan ekonomi dan Gaza selepas pengunduran rejim Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Penyertaan Malaysia di persidangan berkenaan adalah atas undangan Raja Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Malaysia komited dalam usaha ke arah penubuhan Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta Palestin diterima sebagai Anggota Penuh PBB.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan bahawa penyertaan Malaysia di Mesyuarat Tergempar D-8 itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan dan komitmen jitu negara memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

“Undangan kepada Malaysia bagi menyertai Mesyuarat Tergempar D-8 antara lain mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas komitmen negara membantu rakyat Palestin.

“Usaha negara diteruskan melalui penyertaan Menteri Luar Negeri ke Persidangan Peringkat Tinggi ‘Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza’ pada 11 Jun ini di Jordan,” ujarnya.

Menerusi kenyataan tersebut, beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk penyaluran bantuan kemanusiaan untuk Gaza. – Sinar Harian

Exit mobile version