Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai emisi bersih pada tahun 2050.
Jelas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Dasar Tenaga Kebangsaan (DTN) 2022 hingga 2040 serta Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 akan menjadi pemacu transformasi ke arah tenaga yang adil dan inklusif.
“Kita hanya ada satu pilihan di hadapan kita, urbanisasi mampan dan masa depan hijau. Inilah masanya kita harus bertindak bersama untuk melindungi cara hidup kita dan mengurangkan bencana iklim. Mobilisasi yang lemah dan kekurangan ketelusan penyaluran kewangan iklim menghalang negara membangun untuk mencapai inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim,” katanya ketika berucap pada mesyuarat perbandaran dan perubahan iklim di Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) di Dubai.
Malaysia turut menekankan agar semua negara bekerjasama ke arah mewujudkan perbandaran mampan dengan sasaran pelepasan karbon rendah kepada sifar.
Negara membangun memerlukan pembiayaan iklim dengan kadar segera untuk memperkasakan kerajaan tempatan melaksanakan inisiatif mitigasi bagi merealisasikan matlamat itu. – Berita RTM