
KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 – Malaysia sekali lagi menunjukkan kepemimpinan global yang berwibawa apabila berjaya mempelopori sidang kemuncak tiga hala melibatkan ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China — memperkukuh kerjasama ekonomi serantau sambil terus mengekalkan ketegasan dalam isu kemanusiaan Palestin.
Dalam kenyataan yang dikongsikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, beliau menyifatkan sidang kemuncak yang diadakan bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 sebagai satu pencapaian bersejarah yang bakal mencorak masa hadapan ekonomi dunia.

Hasanuddin yang turut diundang memberi pandangan dalam program bual bicara TV Qatar bersama Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman (Presiden WADAH merangkap Penasihat Khas Kementerian Luar) dan Prof. Dr. Sufian Jusoh (UKM), menyatakan bahawa pertemuan trilateral ini menghimpunkan lebih dua bilion populasi – melibatkan ASEAN, negara-negara GCC serta China – dan mewujudkan pasaran ekonomi baharu yang amat besar dan strategik.
“Gabungan ekonomi tiga pihak ini kini mencecah hampir USD25 trilion (lebih RM100 trilion). Ini merupakan peluang besar yang mampu dimanfaatkan tanpa menjejaskan hubungan dagang dengan Eropah, Amerika Syarikat dan rantau lain,” jelas beliau.
Hasanuddin juga menegaskan bahawa kejayaan Malaysia dalam menyatukan tiga kuasa ekonomi besar ini adalah hasil keupayaan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam meyakinkan pemimpin serantau, termasuk kehadiran Amir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad Al Thani di persidangan tersebut.

Namun di sebalik tumpuan kepada kerjasama ekonomi, isu kemanusiaan tetap menjadi keutamaan. Hasanuddin menzahirkan rasa terharu apabila Pengerusi GCC, Kuwait, menyeru agar nasib Gaza dan Palestin dijadikan agenda utama sidang ini.
“Kesibukan kita dalam urusan ekonomi serantau tidak menafikan ketegasan kita terhadap isu kemanusiaan sejagat. Sidang ini membuktikan suara Palestin masih lantang di pentas dunia,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menghargai peluang ini dan terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin serta pembebasan Masjidil Aqsa, sambil memanfaatkan sinergi ekonomi untuk kemakmuran bersama.
“Kita perlu bersama mereka demi manfaat ekonomi negara dan masa hadapan dunia,” tambahnya.
Sidang kemuncak ASEAN-GCC-China ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan jaringan serantau yang lebih mampan dan inklusif, selari dengan aspirasi #MalaysiaMADANI dan prinsip keadilan global berteraskan nilai Islam.