Malaysia memerlukan satu langkah alternatif sebagai persediaan bagi menghadapi masalah bekalan gandum dari negara luar.Ini bertujuan agar rakyat tidak merasa terbeban dengan krisis makanan yang melanda dunia, susulan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan India baru-baru ini, yang mahu menghentikan eksport gandum bagi mengutamakan keperluan domestik negara mereka, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“80 peratus gandum di Malaysia diimport daripada Australia. Meskipun India bukanlah pengeksport utama gandum kepada Malaysia, namun kita juga masih berhadapan dengan kebarangkalian kekurangan bekalan gandum dalam negara disebabkan berlakunya gangguan pada rantaian bekalan bahan mentah tersebut.
Salahuddin berkata demikian, menerusi satu kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Tambahnya lagi, apabila jumlah eksport gandum India dihentikan atau dikurangkan, harga gandum akan meningkat kerana kekurangan bekalan (supply) bagi mencapai permintaan (demand) yang semakin bertambah. Sehubungan itu, Malaysia perlu mengambil langkah segera untuk bersedia, sekiranya negara diancam krisis sekuriti makanan kelak.